ISLAM DI TATANG, MELAYU DIJULANG. ALLAHHUAKBAR!!!!!

ISLAM DI TATANG, MELAYU DIJULANG. ALLAHHUAKBAR!!!!!

MALAYSIA MASIH AMAN

Monday, March 29, 2010

ANALISIS FAKTOR PENENTU HULU SELANGOR

Faktor penentu ini telah diulas oleh Saudara Zulkiflee Bakar dari Utusan Malaysia.  Gaya dan analisis yang diterjemahkan adalah tepat dan jelas.  Oleh yang demikian, Kepimpinan BN dari UMNO, MCA dan MIC dan semua parti komponen harus memastikan bahawa calon yang akan bertanding nanti adalah calon yang berwibawa yang mampu menggalas Gagasan 1 Malaysia serta mampu menggalas kehendak dan keinginan penduduk setempat.


Faktor penentu di Hulu Selangor

Oleh ZULKIFLEE BAKAR (pengarang@utusan.com.my)

MUNGKIN sudah ditakdirkan ketika arena politik negara masih lagi panas dengan isu-isu melibatkan pakatan pembangkang seperti kegagalan mereka memerintah dengan sempurna terutamanya di Selangor, pilihan raya kecil akan diadakan di kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ia berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada Khamis lalu akibat barah otak. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, Allahyarham melakukan kejutan apabila menewaskan Datuk G.Palanivel daripada Barisan Nasional (BN).

Walaupun Palanivel tewas dengan majoriti tipis iaitu 198 undi, namun ia sudah cukup menamatkan penguasaan beliau selama lima penggal di Parlimen berkenaan sejak tahun 1990.

Kini sekali lagi pengundi-pengundi di Hulu Selangor akan membuat keputusan. Ia bermakna mereka menjadi kumpulan pengundi ke-10 yang akan mengundi selepas PRU Ke-12.

Sebelum ini, pengundi di sembilan kawasan terpaksa berbuat demikian berikutan pelaksanaan pilihan raya kecil di kawasan mereka selepas pilihan raya umum 2008. Ia melibatkan tiga kawasan Parlimen dan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kawasan Parlimen yang terlibat adalah Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang manakala enam kerusi DUN pula adalah Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir dan Bagan Pinang.

Bagi kesemua kawasan itu menyaksikan, Pas memenangi dua kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN, PKR berjaya di dua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen manakala BN bertahan di dua kerusi DUN.

Namun begitu berbanding sembilan pilihan raya kecil sebelum ini, pertarungan di Parlimen Hulu Selangor dilihat cukup penting bagi mengukur sejauh manakah segala kemelut politik yang berlaku melibatkan BN dan pakatan pembangkang diterjemahkan oleh rakyat melalui undi.

Bukanlah sesuatu yang riak untuk mengatakan di atas kertas bahawa BN berpeluang cerah merampas kembali kerusi berkenaan.

Selain kekalahan tipis dengan majoriti 198 undi pada pilihan raya umum lalu, banyak adegan politik yang berlaku melibatkan pakatan pembangkang terutamanya di Selangor dikatakan akan memberi kelebihan kepada BN. Ia ditambah pula dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima dengan begitu baik oleh rakyat di seluruh negara.

Populariti Najib melalui gagasan 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan dikatakan akan menjadi modal terbesar bagi membolehkan BN meraih sokongan pengundi di Hulu Selangor.

Begitu juga dengan konsep turun padang melalui program Juara Rakyat yang dilancarkan oleh UMNO, yang mana Hulu Selangor turut menjadi salah satu destinasi program itu baru-baru ini.

Selain itu, memandangkan pakatan pembangkang akan terus menyandar harapan kepada PKR untuk mempertahankan kerusi berkenaan, maka ia akan turut memberikan kelebihan kepada BN.

Ini memandangkan PKR ibarat 'orang sakit' yang dihantar ke medan peperangan, selepas dilanda 'penghijrahan' oleh ahli-ahli Parlimennya menjadi wakil rakyat bebas.

PKR akan turun ke Hulu Selangor seperti membawa 'perisai berlubang' bagi mempertahankan satu demi satu kepincangan kepimpinan parti itu yang didedahkan bekas ahli Parlimennya seperti Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Malahan situasi PKR lebih sulit, apabila terpaksa pula mempertahankan kekalutan yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Pelbagai masalah yang berlaku termasuk semakin meningkatnya perasaan tidak puas hati kepada pemerintahan kerajaan negeri Selangor akan membuka ruang kepada BN untuk menunjukkan kepada rakyat siapa sebenarnya lebih layak menjadi pemimpin dan kerajaan.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang keterlaluan, kalau dikatakan BN mempunyai terlalu banyak modal bagi menamatkan penguasaan PKR di Hulu Selangor.

Tetapi kemenangan tidak akan datang begitu sahaja, seperti mana kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN tidak boleh terlalu yakin. Justeru BN perlu turun ke Hulu Selangor dengan fakta dan kebenaran.

BN harus bersedia untuk menghadapi lebih banyak fitnah dan pembohongan yang sudah pasti akan dijadikan senjata oleh PKR bagi melindungi keburukan mereka.

Apa yang perlu diingat, setiap kali pertarungan melibatkan BN dengan PKR atau lebih tepat lagi UMNO dan PKR, situasi kempen akan menjadi begitu panas. Ia kerana penyokong-penyokong PKR akan menggunakan apa juga cara termasuk menyerang peribadi calon bagi meraih undi.

Oleh itu, di saat-saat BN dikatakan mempunyai terlalu banyak modal untuk mencatatkan kejayaan di Hulu Selangor, faktor penentu paling utama adalah memilih calon yang tepat.

Ia kerana kesilapan calon boleh menyebabkan segala impian BN menawan semula kerusi Parlimen itu hanya sekadar impian.

Sementara semua komponen BN perlu menghormati bahawa kerusi Parlimen berkenaan tradisinya ditandingi oleh MIC, namun ia bukan bermaksud MIC mempunyai kata mutlak untuk menentukan siapa calon yang mereka mahu.

MIC hanya berhak mencadangkan sahaja senarai calon tetapi akhirnya keputusan akan dibuat oleh Najib selaku Pengerusi BN.

Dalam menentukan soal calon, BN dan MIC bukan sahaja perlu meneliti semula keputusan pilihan raya umum lalu, tetapi lebih penting adakah calon yang bakal dipilih nanti benar-benar boleh diterima rakyat.

Ia bukan soal seseorang calon itu pernah menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan atau tidak, tetapi sejauh manakah calon itu dekat dengan rakyat kerana inilah perkara yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

Jika keputusan pilihan raya kawasan berkenaan pada Mac 2008 dikaji adalah jelas BN memerlukan calon yang benar-benar mantap. Ini kerana parti itu tidak boleh memandang ringan jumlah undi rosak yang mencecah 1,466 undi dan kehilangan majoriti 14,483 undi yang diperoleh pada 2004.

Oleh itu, BN perlu berentap di Hulu Selangor melalui dua pendekatan penting iaitu memilih calon yang tepat dan strategi yang betul.

Biarlah apa pun corak kempen yang akan diamalkan oleh PKR termasuklah kemungkinan 'menyanyikan lagu popular' mereka, pengundi hantu, apa yang penting BN perlu memastikan Parlimen Hulu Selangor kembali dalam penguasaan parti tersebut.

BN perlu menjadikan kemenangan di kawasan itu sebagai pengajaran kepada pakatan pembangkang bahawa mereka selama-lamanya tidak boleh terus beretorik dalam berpolitik dan rakyat semakin muak dengan gelagat mereka.

Tidak mustahil kejayaan BN di Parlimen Hulu Selangor jika dicapai akan menjadi satu momentum untuk PRU Ke-13 bagi menenggelamkan bahtera pakatan pembangkang yang kini semakin bocor dan dilanda pelbagai masalah.

No comments:

Post a Comment